Program Global Outreach Programme (GOP) Pelajar FKA ke Jepun

Program GOP ke Jepun yang dijalankan oleh pelajar tahun 3 Fakulti Kejuruteraan Awam ini telah diadakan pada 31 Mac sehingga 6 April 2017. Program ini adalah untuk mendedahkan pelajar UTM kepada dunia luar. Antara objektif program adalah untuk mendedahkan pelajar kejuruteraan awam tentang kemajuan yang telah dicapai oleh negara Jepun.

Di Tokyo dan Osaka, pelajar dapat melihat sendiri tahap keberkesanan sistem pengangkutan awam yang menjadi pengangkutan utama di Jepun. Ketepatan masa dan disiplin amatlah dititikberatkan sehingga telah menjadi norma dan gaya hidup rakyat Jepun.

Jepun juga mempunyai kemudahan internet di mana-mana sahaja termasuklah di taman-taman perumahan. Ini dapat meningkatkan kadar keberkesanan komunikasi di antara satu dengan yang lain.

Sungguhpun mata wang negara Jepun sangat tinggi, lawatan yang dilakukan telah berjalan lancar disebabkan perancangan yang rapi dan teliti telah dilakukan terlebih dahulu.

Justeru itu, pelbagai ilmu dan pengalaman telah dipelajari oleh pelajar melalui program ini. Program GOP ini juga telah memberi impak positif yang besar kepada hubungan UTM dengan kedua-dua buah universiti yang telah dilawati iaitu Waseda University di Tokyo dan Osaka Institute of Technology di Osaka.

Semasa siri lawatan ini diadakan, sesi perkongsian dan pertukaran idea serta lawatan ke fakulti dan makmal kejuruteraan awam di universiti-universiti ini telah memberikan serba sedikit idea kepada mahasiswa-mahasiswa UTM yang menyertai program GOP ini.