
JOHOR BAHRU, 2026 – Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus melakar kejayaan membanggakan apabila diiktiraf sebagai No. 1 di Malaysia bagi bidang Kejuruteraan Awam & Struktur, berdasarkan QS World University Rankings by Subject 2026.
Pencapaian ini turut meletakkan FKA dalam kelompok 51–100 terbaik dunia, satu peningkatan yang signifikan berbanding kedudukan sebelumnya dalam julat 101–150. Lonjakan ini mencerminkan komitmen berterusan fakulti dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak tinggi serta kerjasama strategik di peringkat global.

Kejayaan ini adalah hasil usaha kolektif warga FKA yang sentiasa berusaha meneroka teknologi terkini dan amalan lestari dalam bidang kejuruteraan. Dengan penekanan kepada inovasi dan kreativiti, FKA terus melahirkan graduan yang berupaya menangani cabaran kompleks serta menyumbang kepada pembangunan infrastruktur masa hadapan yang mampan.
Selaras dengan aspirasi ASCEND 2030, FKA komited untuk terus memperkasa pendidikan kejuruteraan bertaraf dunia serta memacu penyelesaian inovatif demi kesejahteraan masyarakat dan negara.
Tahniah diucapkan kepada seluruh warga FKA atas pencapaian yang membanggakan ini!



