
JOHOR BAHRU, 15 Oktober 2025 – Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengukuhkan peranannya dalam menyokong agenda kelestarian dan pembangunan mampan melalui penganjuran Syarahan Perdana Profesor Siri ke-121 yang diadakan di Dewan Senat Ainuddin Wahid, UTM Johor Bahru.

Program ilmiah berprestij itu menampilkan Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Fadhil Md Din, Pengarah Pusat Pelestarian Kampus UTM merangkap ahli akademik FKA, yang menyampaikan syarahan bertajuk “Kelestarian dalam Pembangunan Kejuruteraan”.

Menurut beliau, inisiatif tersebut bertujuan memperkukuh kefahaman masyarakat serta rakan strategik terhadap keperluan penerapan elemen kelestarian dalam bidang kejuruteraan dan dasar kerajaan.
“Syarahan ini menjadi wadah penting bagi membina kefahaman dan kesedaran tentang bagaimana proses kejuruteraan memerlukan intervensi dalam bidang kelestarian, sekali gus menyokong dasar-dasar negara,” jelas beliau.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Haji Pandak bin Haji Ahmad, yang menyatakan sokongan terhadap usaha UTM dan FKA dalam memperkukuh kesedaran kelestarian di peringkat komuniti.
“Pendekatan ini seiring dengan usaha kami di Kota Iskandar untuk menerapkan konsep low carbon dan menjadikan Kampung Sungai Melayu sebagai kampung lestari,” katanya.

Syarahan tersebut turut diserikan dengan kehadiran Prof. Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Dekan FKA dan Prof. Ts. Dr. Juhana Jaafar, Pengarah Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Maju (AMTEC).

Program yang diakhiri dengan pelancaran buku Citizen Science itu mencerminkan komitmen berterusan FKA UTM dalam memperkukuh budaya ilmu, memperluas perkongsian kepakaran, serta memperjuangkan inovasi teknologi hijau ke arah masa depan yang lebih mampan.



