25 Jun 2014 – Program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Awam) untuk mod sepenuh masa dan separuh masa diiktiraf oleh badan professional Majlis Akreditasi Kejuruteraan, Lembaga Jurutera Malaysia (EAC,BEM) untuk tempoh selama 5 tahun tanpa syarat, demikian menurut Prof Dr. Shahrin b. Mohammad, Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam, UTM.
Menurutnya pengiktirafan ini diterima selepas pihak fakulti menghantar segala dokumen dan proses kerja yang dilaksanakan untuk semakan dan penilaian badan akreditasi ini. PIhak fakulti juga telah menerima sesi lawatan penilaian tapak oleh penilai yang dilantik badan tersebut pada 19 dan 20 Februari lalu. Keputusan ini diterima selepas badan akreditasi ini berpuashati dengan kedua-dua penilaian yang telah dibuat.
Beliau berkata pengiktirafan ini amat penting kepada fakulti dan universiti amnya kerana ia merupakan penentu kepada masa depan graduan program ini dan program kejuruteraan UTM lainnya bagi membolehkan mereka layak bekerja dalam bidang ini dan layak mendaftar sebagai jurutera yang berdaftar dengan EAC,BEM.
Menurut Shahrin, pengiktirafan ini penting terhadap reputasi graduan UTM dan masa depan dan kerjaya mereka. Pengiktirafan ini juga penting kepada Negara dalam memastikan bilangan professional kita adalah benar-benar layak dan diiktiraf oleh badan professional dalam dan luar Negara. Seterusnya ia dapat meningkatkan pembangunan dan pelaburan dalam dan luar Negara dan secara langsung membantu meningkatkan ekonomi Negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua warga Fakulti Kejuruteraan Awam termasuk staf, para alumni, rakan industri dan mahasiswa atas komitmen dan kerjasama diberikan untuk menyediakan dokumen dan keperluan badan ini dan persiapan menerima lawatan tapak yang dilaksanakan. Tambahnya selepas ini fakulti boleh memberi fokus terhadap program-program untuk meningkatkan kemahiran dan sahsiah mahasiswa kearah yang lebih holistik, lestari, global dan mempunyai nilai-nilai keusahawanan