Prof. Tan Sri Dato’ (Dr.) Ir. Jamilus Hussein dinobatkan sebagai penerima anugerah “Out-standing Alumni”

 

Pada 16 Februari 2018, Sekolah Kejuruteraan Awam (SKA), Universiti Teknologi Malaysia telah mangadakan majlis makan malam bagi meraikan para Alumni SKA buat julung kalinya. Majlis ini diadakan di Dewan Banquet, Residensi UTM KL, Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir. Turut hadir dalam majlis tersebut, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dan Presiden Persatuan Alumni UTM, Prof. Tan Sri Dato’ (Dr.) Ir. Jamilus Hussein yang juga merupakan Pengerusi KLIA Premier Holdings Sendirian Berhad.

Dengan tema “Celebrating Decades of Continuous Excellence”, majlis makan malam ini meraikan Alumni Sekolah Kejuruteraan Awam (SKA), Fakulti Kejuruteraan, UTM yang telah banyak mencapai kecemerlangan dan 

menyumbang secara langsung dan tidak langsung kepada perkembangan dan kejayaan SKA dan UTM. Seramai 300 orang Alumni telah diraikan dalam majlis ini dan majlis makan malam ini berjaya menjadi wadah pertemuan bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan jalinan kerjasama antara Alumni SKA dan pihak pengurusan UTM.

Majlis ini juga diadakan bagi membantu usaha pengumpulan dana untuk Tabung Endowmen SKA, UTM yang akan digunakan bagi tujuan penyelenggaraan infrastruktur SKA, penambahbaikan kemudahan pengajaran dan pembelajaran serta bantuan ehsan kepada pelajar yang tergolong dibawah kategori B40.

Dalam ucapan perasmian, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir juga menyokong baik usaha pihak SKA mengadakan majlis seumpama ini bagi mengurangkan kebertanggungan UTM sebagai institusi pengajian tinggi kepada dana Negara dan mempertingkatkan usaha ke arah kelestarian pengurusan UTM.

AEC Prima Sdn Bhd dan Persatuan Alumni UTM merupakan penaja terbesar untuk majlis ini dengan masing-masing menyumbang sebanyak RM10,000. Universitas Sriwijaya, Nik Jai Associates Sdn Bhd, Smart Tycoon Group, Engineering Seismology and Earthquake Engineering Research (eSEER), GJ Runding Sdn Bhd, CCM Pharmaceuticals Sdn Bhd, DIRJEN PU PA Jakarta, Syarikat Onegas Master, Silver Gold, dan UTM Holdings Sdn Bhd juga merupakan antara penaja-penaja yang telah banyak menyumbang dalam menjayakan majlis ini.

Dalam majlis ini juga, pihak SKA, UTM telah menganugerahkan anugerah “Out-standing Alumni” kepada Prof. Tan Sri Dato’ (Dr.) Ir. Jamilus Hussein atas pencapaian dan sumbangan besar beliau kepada pembangunan Negara terutamanya dalam bidang kejuruteraan awam. Prof. Tan Sri Dato’ (Dr.) Ir. Jamilus Hussein yang juga merupakan Presiden Persatuan Alumni UTM telah banyak menyumbang kepada perkembangan dan pembangunan UTM.

Majlis seumpama ini telah berjaya mewujudkan platform bagi mengukuhkan hubungan dan sinergi antara institusi pengajian tinggi dan alumni yang kebanyakannya terdiri daripada golongan profesional. Platform seumpama ini amat diperlukan bagi membantu institusi pengajian tinggi untuk kekal relevan dan menghasilkan graduan yang berkualiti tnggi.