KERJA SAMA, SALING MENGHARGAI DAN SANGGUP BERKORBAN MAMPU PACU KECEMERLANGAN FAKULTI DAN SETERUSNYA UNIVERSITI

gambar FKA Hari Q gambar Hari Q 2

#PhotoGallery

13 Ogos – Sikap kerjasama, saling menghargai dan sanggup berkorban  di kalangan staf mampu memacu kecemerlangan  fakulti dan seterusnya matlamat universiti.  Budaya ini  perlu dipupuk  untuk  menanamkan rasa  sayangkan  organisasi dan mahu bersama-sama untuk  memastikan universiti terus ke depan dan mampu bersaing di peringkat global, demikian menurut  Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid b. Omar, Naib Canselor  dalam Majlis Anugerah Kualiti 2013 dan Sambutan Aidil Fitri, Fakulti Kejuruteraan Awam di Dewan Banquet UTM Johor Bahru

Tambahnya  semua jabatan dan fakulti seharusnya memperbanyakkan lagi program yang dapat mengeratkan silaturahim di antara staf untuk  menimbulkan rasa dan semangat  penyatuan untuk sama-sama memajukan organisasi mereka.  Beliau memuji pengurusan Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) kerana sangat aktif mengadakan program-program sebegini.  Beliau yakin hasilnya telah berjaya dibuktikan kerana Fakulti Kejuruteraan Awam telah berjaya mencapai beberapa kejayaan penting sejak dulu lagi.

Pada tahun ini program Sarjana Muda Kejuruteraan Awam merupakan satu-satunya program yang telah mendapat pengiktirafan oleh Engineering Accreditation Council, Lembaga Jurutera Malaysia untuk tempoh selama 5 tahun tanpa syarat.  Pada 26 Jun lalu FKA juga telah dianugerahkan Anugerah Kualiti Akademik 2013 oleh UTM dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Penghargaan Citra  Krisma atas kejayaan mengadakan pelbagai insiatif bagi meningkatkan kualiti pengurusan akademik dan output program.

Beliau turut  mengalu-alukan usaha FKA  yang turut menjemput  staf yang telah bersara, alumni kita di luar sana, bahkan  bekas  staf fakulti yang telah berpindah ke jabatan lain dalam majlis ini kerana perjumpaan ini dapat  dijadikan meduim untuk mereka  bekerjasama  melaksanakan pelbagai program yang dapat dimanfaatkan oleh pelajar maupun  staf.  Selain bertanya khabar staf dapat  mengeratkan  silaturahim sesama mereka.

Menurut  Prof Madya Dr.  Mushairry b. Mustaffar, Pengerusi Jawatankuasa  majlis ini sebanyak 34 Anugerah  telah disediakan untuk majlis  ini dan melibatkan seramai 380 orang penerima. Penerima  anugerah ini bukan sahaja staf fakulti bahkan kepada bekas staf fakulti yang telah banyak berjasa di peringkat kebangsaan maupun di peringkat antarabangsa. Kita juga turut  memberi penghargaan kepada ALUMNI kita  berjaya mengharumkan nama universiti dan negara amnya.

Anugerah tertinggi adalah  Anugerah Jasa Dekan, yang dianugerahkan kepada mantan staf FKA yang  telah berjaya membawa nama baik FKA di peringkat Kebangsaan dan antarabangsa iaitu, Prof Dr. Karim Mirasa. Beliau merupakan bekas Dekan FKA dan kini berkhidmat di Universiti  Malaysia Sabah. Manakala  anugerah kedua tertinggi adalah Anugerah ALUMNI yang diberikan kepada Dr. Sukarno b. Wagiman, yang kini merupakan Ketua Pengarah Jabatan Taman laut Malaysia dan  Ir. Mat Lazim b. Zakaria  yang kini merupakan Pengerusi, Perunding MLA, yang banyak terlibat dalam projek-projek pembinaan  di peringkat Negara.

Menurut  Prof. Dr. Shahrin b. Mohammad, Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam,   seramai  lebih 250 orang tetamu  yang terdiri staf, ALUMNI dan bekas staf FKA telah hadir di majlis ini yang merupakan acara tahunan fakulti.  Program sebegini amat penting kepada fakulti untuk memastikan semua warga  fakulti  dirasai kehadiran mereka dan usaha dan pengorbanan mereka diraikan .

Tambahnya, majlis pada tahun ini disekalikan dengan majlis sambutan Aidil Fitri dan meraikan beberapa kejayaan fakulti.

#PhotoGallery