Intervarsity-High-Strength-Geopolymer-Competition-(IHSGC)-2014-FKA-UTM

KENYATAAN AKHBAR

PELAJAR UTM MENANGI TEMPAT PERTAMA DAN KETIGA DALAM INTERVASITY HIGH STRENGTH GEOPOLYMER COMPETITION (IHSGC) 2014

28 Oktober – Pelajar UTM berjaya memenangi tempat pertama dan ketiga dalam pertandingan Intervarsity High Strength Geopolymer Competition (IHSGC) 2014 yang diadakan di Universiti Teknologi Petronas dengan kerjasama Persatuan Geopolymer Malaysia (Geopolymer) pada 10 – 12 Oktober lalu, demikian menurut Prof Dr. Shahrin b. Mohammad, Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam UTM. Pertandingan ini mendapat tajaan daripada NL Scientific Sdn Bhd, Sustainable Resources Mission Oriented Research (SUREMOR), Wisuda Sdn Bhd dan Portray (M) Sdn Bhd.

Menurutnya kejayaan kumpulan UTM dalam pertandingan ini adalah kerana kekuatan konkrit yang dibina dan kreativiti kumpulan kami mencipta konkrit kekuatan tinggi tanpa simen masing-masing dengan kekuatan 24jam ialah 57 MPa dan 49 MPa. Malah kumpulan kami telah berjaya mengurangkan pelepasan karbondioksida yang tinggi iaitu sebanyak 50 peratus dalam penyediaannya.

Pertandingan selama dua hari berkenaan telah menyaksikan seramai 12 kumpulan peserta daripada IPTA dan IPTS di seluruh negara. IHSGC 2014 ini dijalankan bagi mencipta produk konkrit tanpa simen seratus peratus. Ini adalah inovasi kepada teknologi terkini konkrit daripada pelajar-pelajar IPT bagi mengurangkan pelepasan karbondioksida ke atmosfera dan seterusnya menyahut seruan Perdana Menteri Malaysia yang menggalakan hasilcipta berteknologi hijau yang mesra alam kepada masyarakat dan negara.

Menurut Shahrin, pertandingan ini menguji minda dan kemampuan pelajar untuk menghasilkan konkrit berteknologi baru tanpa simen dan mesra alam. Pertandingan ini mencabar kepintaran para pelajar untuk menghasilkan konkrit berteknologi baru dengan kekuatan yang tinggi dalam tempoh 24 jam. Jika ini berjaya, ianya akan berpotensi tinggi untuk dipatenkan kerana konkrit tanpa simen yang mesra alam ini menghasilkan kekuatan mampatan konkrit yang tinggi.

Menurutnya Universiti sentiasa memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat dalam pertandingan sebegini untuk memberi pendedahan mereka berinteraksi dengan pelajar dari IPT lain dan seterusnya menguji minda untuk berfikiran kreatif dan inovatif. Usaha ini juga dilihat mampu membina minat mereka untuk meneruskan penyelidikan di peringkat pasca siswazah.

Katanya pihak fakulti sentiasa menggalakan pelajar, penyelidik untuk menghasilkan produk baru dengan kreativiti dan inovatif seperti menghasilkan konkrit kekuatan awal yang tinggi pada kos yang optimum dan juga mesra alam.

Tambah beliau lagi pertandingan ini secara khusus dapat mewujudkan kesedaran tentang kepelbagaian bahan dan teknologi menghasilkan konkrit kekuatan tinggi dan menyediakan platform perkongsian ilmu di kalangan pelajar, industri konkrit dan universiti. Pihak fakulti telah menghantar seramai enam orang pelajar yang dibimbing oleh Dr. Abdullah Zawawi bin Awang dan Dr. Mohd Azreen bin Mohd Ariffin serta dibantu oleh YM. Raja Ezar Ishamuddin bin Raja Abdul Latiff dan En. Nawawi bin Mohd Salleh.

Menurut beliau, 3 pelajar yang terlibat ialah Lee Hoong Pin, Nor Hasanah binti Abdul Shukor Lim dan Nur Farhayu binti Ariffin iaitu pelajar di peringkat Doktor Falsafah. Manakala 3 pelajar di peringkat Ijazah pertama adalah Nurhana Azlin binti Yahaya, Nooraniza binti Zulkifle dan Syahira Nabilla binti Ahmad Hisham.

Keterangan lanjut sila hubungi :
Dr. Abdullah Zawawi Awang
No Tel Pejabat : 07-5538692
No Tel Bimbit : 019-7107185
Email : abdullahzawawi@utm.my